Khamis, 30 April 2009

INGATLAH MATI ITU DATANG TIBA-TIBA

Foto: Bersama Along Kadir (tengah) dalam majlis kenduri kahwin Dik Nor, anak Induk Serah. Kelihatan rumah Moyang Nipis. Di belakang rumah itu saya terjatuh dari pokok manggis.

Seingat saya saya hampir MATI sebanyak empat kali:

Kali pertama ketika berusia 6 tahun: Tiap-tiap petang balik dari sekolah saya mengikut emak ke sawah. Ikut musim; sama ada musim menyangkul, musim mengubah atau musim menuai. Kalau musim menyangkul - tolong emak menyangkul sampai melecet tangan. Musim mengubah yang seronok sekali kerana kerjanya kreatif menyusun rekabentuk barisan rumpub padi yang ditanam dan dapat bermain lumpur. Musim menuai saya akan mendorong basikal tua untuk membawa pulang satu guni padi setiap petang. Apa-apa pun apabila petang semakin tua, kami akan ke sungai (Sungai Rembau) untuk mandi-manda.

Tempat mandi ini ada yang cetek dan ada yang dalam. Kawasan yang paling dalam dipanggil lubuh Cuma. Ntah macam mana saya berenang ke tempat yang dalam. Bila kaki tak mencecah tanah, badan pun tenggelam. Air masuk ke lubang hidung dan mulut. Saya cuba menyelamatkan diri tapi tak berdaya.

Apabila tersedar saya sudah ditatang Cik Mahmud (jutaan terima kasih kepada Bang Mahmud) dibawa ke darat dan dikeluarkan air dari perut saya. Yang paling kuat menangis dan melolong ialah emak. Alhamdulillah saya selamat daripada cubaan mati yang pertama.

Kali kedua ketika berusia13 tahun: Musim buah-buahan sudah menghujung. Saya memanjat sepohon manggis tua di dusun Moyang Nipis. Untuk mendapatkan saki baki buah yang menghujung musim, dahan tempat saya berpijak patah. Saya terjatuh ke tanah.

Ingat-ingat saya telah ditimbuni dengan daun-daun kayu kering dan sampah pelepah pinang serta dijirus air. Orang kampung saya panggil amalan ini sebagai "memanggil nyawa." Induk Serah dan emak juga orang yang paling tak keruan apabila mendapat berita saya jatuh. Alhamdulilah, saya selamat lagi dari cubaan mati yang kedua.

Kali ketiga ketika berusia 25 tahun: Saya sedang memandu kereta pertama Toyota Corolla menghampiri bandar Sungai Besar di Selangor bersama isteri. Kerana terlepas masjid sebelah kanan saya berpatah membuat u-turn. Tiba-tiba sebuah kereta meluru dengan lajunya dan menghentam kereta saya betul-betul di tempat pemandu. Saya pengsan. Apabila tersedar orang ramai telah mengerumuni saya dan bertanya, "Melayu ke Jawa?" Kereta bengkok dua. Alhamdulilah isteri selamat dan saya pun selamat daripada cubaan mati yang ketiga.

Foto: Isteri bersama cucu kesayangan kami, Iman.

Kali keempat ketika berusia 35 tahun: Saya menghampiri pekan Tanjung Karang dari Simpang Empat di Selangor. Dekat selekoh kereta saya Suzuki Jeep hilang kawalan dan terbalik 2 kali berakhir dengan empat roda ke atas. Total lost. Saya dihantar orang ke Hospital Tanjung Karang. Alhamdulillah selamat dari cubaan mati keempat, cuma berjahit di kepala, dahi dan tangan.

Sekarang saya berusia 53 tahun. Saya amat bersyukur Allah SWT memanjangkan usia saya setakat ini. Saya amat pasrah yang "MATI ITU DATANG TIBA-TIBA." Anda dan saya,"Bersediakah kita?"

Saya akan menyorot persoalan ini dalam majalah bulanan SOLUSI isu No. 8, Jun 2009, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Ahad, 5 April 2009

MEMBINA KEYAKINAN DIRI

Foto: Bersama Alam Syarat bin Loss (tengah) berasal dari Sarawak. Setelah dibina keyakinan diri sekarang menjadi pelakon dalam siri Gerak Khas dan menjadi DJ sambilan. Program ini di PAMERAN MISI KEMANUSIAAN PALESTIN di Metro Plaza, Kajang.

Keyakinan diri sebenarnya tidak pernah luput dari diri anda. Yang luput ialah pengurusan diri. Bila diri tak terurus, kerja sering bertangguh. Bila kerja tertangguh, anda mendapat tekanan dari berbagai pihak. Kalau pelajar, guru memberi tekanan. Kalau pekerja, bos memberi tekanan di pejabat. Bila banyak kerja tertangguh, seolah-olahnya anda tidak mampu... Anda mula rasa anda tidak berupaya. Inilah yang dikatakan kurang keyakinan diri.

Sebenarnya diri anda lebih daripada mampu. Anda sudah sedia kuat dan cemerlang. Cumanya anda tidak dapat menyiapkan kerja anda on time! Betapa kalau anda dimarahi bos. Atau didenda guru kerana kerja tak siap. Atau mendapat markah rendah dalam ujian bulanan atau peperiksaan semester. Semangat anda mula mengendur. Anda silap!

Anda sebenarnya tak pernah lebur dari keyakinan diri. Ya, mana bisa diri anda tiba-tiba berubah dari seorang yang mampu kepada seorang yang tidak mampu. Diri anda tidak boleh berubah semalaman dengan begitu cepat sekali. Diri anda hari ini tetap diri anda yang semalam.

BELAJAR DARI PEMAIN SARKAS

Cuba anda lihat ahli sarkas yang melakukan aksi yang luar biasa seperti menimbang 5 barang sekali gus di udara. Atau menaiki basikal merentasi tali yang halus di tempat yang tinggi. Keyakinan dirinya tidak pernah luntur. Pejam mata pun dia boleh melakukannya. Cuma dia harus menyediakan dirinya di tahap yang optimum sewaktu mahu kelakukan aksi tersebut. Jangan ada gangguan dari luar seperti angin yang bertiup dan sebagainya.

Saban hari diri anda dilatih dan diberi kemahiran untuk menjadi lebih cemerlang. Jadi jangan biarkan keyakinan diri menurun hanya semata-mata anda tidak dapat menyiapkan kerja. Kerja ialah kerja. Keyakinan diri anda tetap seperti dulu.

Cumanya kita boleh membina keyakinan diri ke arah tahap baru yang lebih tinggi. Bagaimana?

TEKNIK MEMBINA KEYAKINAN DIRI
  • Tingkatkan kemahiran diri.
  • Kalau pelajar, tingkatkan teknik belajar termasuk teknik mendengar, membaca, membuat nota, mengulangkaji dan mengeluarkan bahan dari ingatan.
  • Tambah masa bekerja / belajar.
  • Buat kerja demgan cekap dan tepat.
  • Abaikan aktiviti sampingan yang mengganggu.
  • Buat kerja yang lebih penting dahulu.
  • Gunakan waktu prima sebaik mungkin.
  • Lengkapkan peralatan dan bahan untuk belajar.
  • Taat kepada jadual waktu yang disediakan.
  • Kalau anda menghadapi masalah, beritahu orang yang berkaitan. Jangan memendam perasaan sendiri. Orang lain tidak boleh membaca apa yang ada dalam hati anda.
  • Pertahankan rasional minda anda.
  • Jangan bersaing dengan orang lain. Bersainglah dengan diri anda sendiri.
Anda mahu dengar satu cerita bagaimana saya belajar Matematik tidak bersaing dengan orang lain? Seseorang pelajar sering membandingkan markah yang dia dapat dengan pesaingnya di dalam kelas atau dalam tingkatan. Sebenarnya saingan anda bukan kawan anda.

Foto: Bersama Mohd Sham Subuh (Pak Syam), bapa saudara kawan sepermainan waktu kecil di kampung. Kami tak pernah bersaing antara satu sama lain hingga dewasa kini tetapi kami bersaing dengan diri sendiri untuk mencipta bidang masing-masing.

BAGAIMANA BERSAING DENGAN DIRI SENDIRI?

Saingan anda ialah diri anda sendiri:
  • Setakat mana anda telah memahami semua topik dalam setiap mata pelajaran?
  • Setakat mana anda telah menyelesaikan semua masalah dalam buku latihan?
  • Setakat mana anda telah meneliti kenapa anda membuat kesalahan dan kesilapan dalam ujian yang lalu?
  • Setakat mana anda telah menggunakan tenaga anda secara optimum?
Bagaimana kalau semua saingan anda mempunyai tahap kecemerlangan yang rendah? Tak kan anda nak bersaing dengan mereka juga?

Berbalik kepada cerita saya belajar Matematik dulu di kampung. Kawan-kawan sekelas bukanlah terdiri daripada mereka yang cemerlang sangat. Maklum... sekolah kampung (bukan semua sekolah kampung begitu ya). Jadi oleh kerana semua murid mendapat markah yang rendah, cikgu Matematik kami telah menambah 4 markah kepada semua murid supaya guru besar tidak komplen. Saya yang telah mendapat markah 100 % pula mendapat markah baru 104%! Lihat bagaimana saya tidak perlu bersaing dengan kawan-kawan.