Isnin, 24 Ogos 2009

APA BEZANYA BEKERJA PADA BULAN RAMADAN?

Foto: Semalam (3 Ramadan) saya sekeluarga berbuka puasa di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Di halaman Masjid India saya bertemu kawan lama Abd Halim (berjubah biru). Dulu beliau pernah dianugerah Guru Cemerlang Negeri Perak (Matematik). Hari ini beliau mempromosikan secara jalanan beberapa prinsip Matematik pantas. Nampaknya beliau lebih gigih bekerja pada bulan Ramadan.






Bekerja pada bulan Ramadan bagi saya lebih:
  • Selesa.
  • Laju.
  • Lancar.
  • Berkembang.
  • Segar.
  • Produktif.
Kenapa saya berkata demikian dalam keadaan ramai orang berkata sebaliknya. Ramai orang berkata bekerja dalam bulan Ramadan ini:
  • Meletihan.
  • Mengantuk kerana kena bangun sahur.
  • Membosankan.
  • Tidak produktif.
  • Tidak banyak progres yang boleh dibuat.
  • Kurang bersemangat.
  • Semua orang nak balik cepat.
Bagaimana meningkatkan prestasi kerja pada bulan Ramadan?
  • Kita boleh datang lebih awal ke pejabat kerana tidak perlu tidur selepas makan sahur sebaliknya pergi berjemaah di masjid atau surau berhampiran. Ini akan memberi tenaga dan semangat baru untuk kita memulakan hari.
  • Tidak akan berlaku bangun lewat dalam bulan Ramadan ini.
  • Kita makan sahur jam 5.00 hingga 5.30 pagi. Ketika memulakan kerja di pejabat kita tidak akan mengantuk lagi kerana makanan telah 3 hingga 4 jam terhadam. Sebaliknya kita memiliki penuh tenaga untuk bekerja dengan produktif.
  • Tidak perlu rehat pukul 10.
  • Tidak perlu keluar pejabat untuk hisap rokok (bagi yang merokok).
  • Tidak perlu keluar makan tengahari. Tidak ada masalah mencari tempat makan, mencari tempat parking, memilih makanan, mengunyah makanan, memilih minuman dan pergi ke tandas selepas makan.
  • Kita dapat menumpukan masa yang lebih untuk solat berjemaah di masjid berhampiran atau surau pejabat. Ini boleh memberi semangat untuk bekerja dengan lebih gigih pada sebelah petang.
  • Kita mungkin ada sedikit masa waktu rehat tengah hari untuk membaca al-Quran barang semuka dua. Ini akan menjernihkan fikiran dan hati kita untuk jam-jam berikutnya.
  • Tidak perlu minum petang.
  • Jam bekerja menjadi lebih panjang dan produktif.
  • Sesi petang tidak menyebabkan kita mengantuk seperti lazimnya bulan-bulan biasa.
  • Kita menghadkan bergurau senda dan bertepuk bertampar dengan rakan sepejabat terutama yang berlainan jantina kerana ada rasa segan dengan bulan Ramadan.
  • Yang biasa mencarut pun mungkin akan terbantut untuk mencarut.
  • Apakah bulan Ramadan juga akan mengurangkan aktiviti menipu majikan, curi tulang, berbohong, membuat tuntutan palsu, rasuah dan sebagainya.
  • Latihan untuk menyiapkan kerja dengan lebih cekap dan pantas kerana lazimnya waktu pejabat dipendekkan dan waktu pulang dicepatkan.
  • Tidak perlu membawa tetamu untuk refreshment.
  • Sebelah petang selalunya kita dapat bekerja dengan lebih berkesan kerana perut kosong. Pancaindera lebih pantas bergerak. Badan lebih ringan.
Tetapi yang lebih penting ialah untuk mengajar diri kita untuk menjadi lebih produktif dalam bulan Ramadan. Bagaimana?
  • Abaikan rasa letih, lapar dan dahaga.
  • Jadikan sebulan Ramadan ini latihan untuk berhenti merokok bagi anda yang merokok kerana anda telah buktikan yang diri anda boleh tidak merokok selama 14 jam.
  • Ingat sejarah yang mengajar kita bahawa kebanyakan peperangan Rasulullah SAW berlaku dalam bulan Ramadan dan Baginda beroleh kemenangan.


Foto: Ini di lokasi Kuburan Massal yang menyimpan puluhan ribu mayat mangsa tsunami di Lok Nga, Aceh. Jumaat ini (7 Ramadan) saya akan ke Aceh selama 3 hari untuk membawa bantuan kepada anak-anak yatim sempena bulan Ramadan. Anda ingin membantu? Masukkan ke dalam akaun CIMB No: 14160067926528 dan maklumkan melalaui SMS o16-4028344.

Ada orang yang komplen yang mereka
kurang makan
dalam bulan Ramadan. Ini tidak benar sama sekali kerana:
  • Makan tengah hari anda gantikan dengan bersahur.
  • Sarapan pagi anda gantikan dengan berbuka.
  • Minum pukul 10 atau minum petang anda gantikan dengan makan selepas more.
Hakikatnya dalam bulan Ramadan, anda masih makan 4 kali sehari: Berbuka, makan malam, more dan sahur.

Akhirnya dalam bulan Ramadan anda akan
mendapat banyak kelebihan yang anda tidak dapat dalam bulan-bulan lain:
  • Solat Subuh berjemaah di surau atau masjid.
  • Peluang membaca al-Quran waktu tengah hari atau malam sebelum tidur.
  • Berhimpun dengan keluarga ketika bersahur dan berbuka.
  • Solat Tarawih dan Witir berjemaah dengan anak-anak dan keluarga.
  • Kemeriahan membeli kueh sebelum berbuka.
  • Menguji ketabahan ketika mahu makan sahur.
  • Berlumba-lumba untuk bertadarus dengan matlamat mengkhatamkan al-Quran paling kurang sekali khatam dalam sebulan.
  • Meninjau kemunculan malam Lailatul Qadar.
  • Menyertai iktikaf dan qiamulail di masjid terutama pada 10 malam terakhir.
  • Menanti datangnya malam raya yang merupakan malam kemenangan yang diisytiharkan melalui takbir hingga selesai solat sunat Aidilfitri.
Foto: Setiap kali ke Aceh (ini kali ke-12), saya tidak lepaskan peluang makan TAHU ABANG GAM di Keutapang. GAM ialah Gerakan Aceh Merdeka, sekarang berkompromi dengan Indonesia untuk memerintah Aceh. Anda lihat nama warung ini: TOKO RAJIN USAHA.

Sabtu, 15 Ogos 2009

ASRI RABBANI DALAM KENANGAN

Pagi itu Khamis 13 Ogos 2009. Saya di Telaga Biru menyiapkan majalah Solusi No.11 yang mesti dihantar printing Sabtu. Tepat 11.00 pagi saya terima SMS:

ASRI IBRAHIM RABBANI MENINGGAL DUNIA. BELIAU REBAH WAKTU REHEARSAL DI RTM. SEKARANG DI HOSPITAL PANTAI, KL.

"INNALILLAH HIWAINNA ILAIHIROJIUN" Saya terus maklumkan kepada seluruh warga Telaga Biru. Semua terperanjat dan mula melayari Internet mencari maklumat. Saya terus memanjangkan SMS kepada beberapa sahabat penting mengikut senarai dalam h/p saya. Ramai yang respond.

Sheikh Hussein call,"Ana terus ke Hospital Pantai," katanya.

Saya meminta Sani, PR Telaga Biru cari maklumat di mana jenazah akan dimandi dan disolatkan. "Mandi di Hospital Pantai, kemudian dibawa ke rumah ibunya di Kg. Bukit Lancong, Seksyen 27, Shah Alam. Kebumi lepas Asar." Kata Sani dalam 30 minit.

Kemudian h/p saya memberi signal menandakan SMS masuk dari beberapa orang sahabat; ada yang kenal dan ada yang tak ada dalam senarai nama h/p saya menyebarkan berita yang sama. Ramai yang memberi takziah. Yang lain bertanya di mana dikebumikan.

Yaser Akhir, seorang event manager di Kelang memberitahu, " Saya sepatutnya ada program dengan Ustaz Asri hujung minggu ini."

Aliyah Sijari, pegawai perhubungan korporat Galeri ilmu memberitahu, "Baru pukul 9.30 tadi saya bercakap dengan Asri."

Ziarah Jenazah

Kami menyusun agenda. 2 kereta dari Telaga Biru. Bos Haji Waharp Yusoff yang akan berlepas mengerjakan umrah Isnin ini, satu kereta. Saya bersama beliau. Ustaz Zahazan, ED satu kereta bersama Sani dan Asst. PR, Faruq. Kami berlepas 3.30 petang.

Kebetulan jalan jam teruk. 4.30 baru sampai. Kereta berjejeran tepi jalan utama depan rumah ibu Allahyarham Asri. Dari jauh lagi kami sudah bertemu dengan sahabat-sahabat lama. Ada yang 25 tahun tidak pernah bertemu. Semuanya sugul. Lelaki dan perempuan sama ramai. Sebahagian besarnya kami jangka peminat Asri. Media turut sibuk.

Foto: Pihak media sedang menemuduga Ustaz Amal di perkarangan rumah ibu Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. "Ustaz Asri kawan saya dari kecil dan saya tak pernah jumpa orang yang lebih sabar dan kuat bertawakal selain beliau,"ujar Ustaz Amal.

Kami berselisih dengan Akil Hai, Ina Naim degan suaminya Suhaimi, Nazri Johani, Yasin Brothers, Ustaz Amal, semua anggota Raihan bersama pengurusnya Haji Mubin, Pyan dan Kimi Saujana, Wan Najran Rast, semua anggota In-team, UNIC dan Mestika, Dini Juri (yang turut memandikan jenazah) dengan isteri barunya, Farihin Fatah, Ustaz Sohibul Fadil Sabikin (bekas pengurus Rabbani & pengasas Nada Murni), Ustaz Abdullah Muhammad Hijrah, Ustaz Pahrol Md. Juoi, grup Fitrah Perkasa, Cikgu Abu Hasan Morad Galeri ILmu, Azmal Md. Nor Pusratu, Haji Abu Hasan Yusof (Konsortium Kabilah Ehsan), Haji Hasan Mokhtar Sg. Serai, grup Global Ikhwan, Mustafa Husin, Rafidi Md. Aris FCM, Bilal ROC, Suhardi Md. Isa Walet, dan ramai lagi. Ramai pengunjung yang kami tak kenal.

Di halaman rumah telah dipasang empat buah khemah putih. Pengunjung wanita berteduh dalam sebuah khemah. Kami terus masuk ke ruang tengah rumah bertemu dengan abang Allahyarham, Ustaz Ghazali Ibrahim.

Jenazah terbaring di tengah rumah. Sebahagian ruang menghala ke dapur dipenuhi oleh pengunjung wanita. Isteri dan ibu beliau yang uzur dengan enam orang anak beliau; 3 lelaki dan 3 perempuan duduk di samping jenazah. Semua sugul. Sebahagian besar menangis.


Foto: Dua keping foto ini saya abadikan menggunakan handphone saya. Saya berfikir, "Satu tidur yang panjang." Wajahnya setenang dan sedamai ketika beliau hidup. Dapatkah saya menemui Allah setenang beliau?

Wajahnya sejuk damai

Saya menghampiri jenazah. Wajahnya tiada perubahan, senyum, bersih, tenang dan damai sekali. Itulah yang dapat saya gambarkan. Saya mencium dahi beliau, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan ketika hidupnya. Dulu ketika beliau hidup kami cuma berpeluk dan berlaga pipi. Paling tidak dia akan mencium tangan saya. Saya rasa di bibir, jasadnya sejuk dan mesra. Oleh kerana tetamu berpusu-pusu masuk, saya segera keluar memberi peluang kepada orang lain.

Sebentar kemudian solat jenazah didirikan. Kumpulan demi kumpulan mendirikan solat jenazah kerana ruang rumah yang sempit. Kerana pengunjung yang bertali arus, rancangan untuk mengebumikan selepas Asar ditangguhkan selepas Maghrib.

Pengunjung semakin ramai tiba. Media menemuduga artis. Air minuman diedarkan. Ramai tetamu yang berbual antara satu sama lain kerana lama tidak berjumpa.

Di bawah khemah dengan linangan air mata Ustaz Sohibul berkata,"Ana jangka ana akan mati dulu, rupanya Asri yang perlu dulu."

Beliau mengimbau dua bulan lepas beliau dimasukkan ke ICU Hospital Sungai Buluh kerana serangan darah tinggi. Ramai kawan-kawan yang menjangka beliau akan meninggalkan kami tetapi sekarang beliau sudah sihat.

ASRI DALAM KENANGAN

ASRI RABBANI bukan orang baru bagi saya. Saya mengenali beliau ketika beliau berusia 10 tahun pada tahun 1979, 30 tahun dahulu (lihat blog saya terdahulu). Ketika itu beliau merupakan penyanyi solo pertama (penyanyi solo kedua ialah Munif Hijjaz) Kumpulan Nasyid Putera al-Arqam (sebelum dinamakan Nada Murni pimpinan Ustaz Sohibul.) Saya sering menguruskan persembahan nasyid serata Malaysia, malah akhirnya konsert serata dunia bersama kumpulan Nada Murni.

Saya juga sering memimpin dan memberi kursus motivasi, usrah, kursus perguruan kepada Asri dan kawan-kawannya di institusi tempat beliau belajar. Saya melihat graf dan bintang beliau naik selama 30 tahun hingga menjadi artis tersohor dalam dunia nasyid.

Akhir-akhir ini sering juga saya duduk sepentas dengan beliau (lihat blog saya terdahulu) di samping beliau turut menyumbang tenaga dalam Konsortium Kabilah Ehsan yang saya sertai selaku Setiausaha Penubuhan.

Siapakah Asri yang saya kenali?

Seorang yang warak, berilmu pengetahuan agama, bermotivasi tinggi, berketrampilan, merendah diri, tawaduk, mengenang jasa, berwibawa memimpin, bekerja keras, penyayang dan penyabar.

Betapa tidak, di atas pentas dia boleh mengumumkan nama saya dan memberi penghargaan jika terlihat saya bersama anak-anak (semua anak-anak saya suka Rabbani) duduk di dalam dewan tempat beliau membuat persembahan.

Asri pergi meninggalkan kita buat selamanya. Pencapaian yang diraih dalam dunia muzik yang disenaraikan oleh akhbar semalam melayakkan beliau dianugerahkan sesuatu yang bermakna oleh dunia muzik!

Saya memberitahu Haji Waharp Yusoff, bos Telaga Biru, "Kalau orang tak bagi, kita yang bagi."

Rabu, 12 Ogos 2009

HANTAR ANAK KE SEKOLAH ASRAMA PENUH?

Foto: Nik Nur Madihah (20A SPM 2008) di Bank Negara bersama gabenor Tan Sri Zetty Aziz. Beliau bersekolah harian dan tidak pernah duduk di asrama.


Selepas memberi latihan di SMK Shahbandaraya, Kelang minggu lepas seorang penjaga bertanya kepada saya, "Tuan Haji, mana lebih baik antara sekolah asrama penuh dengan sekolah harian?"

Saya kata:

Sekolah asrama penuh baik untuk anak-anak yang sudah ada jati diri dan yang sudah pandai membawa hala tuju sendiri. Anak-anak yang belum boleh berdikari, elok belajar di sekolah harian supaya dapat diasuh dan dididik oleh ibu dan ayah di rumah.

Ini pun tertakluk ibu dan ayah dapat memperi perhatian penuh kepada mereka. Jika ibu dan ayah turut sibuk dengan kerjaya masing-masing, lebih baik anak belajar di sekolah berasrama penuh.

Ini bukan bermakna sekolah berasrama penuh tidak baik. Tetapi di sekolah berasrama penuh tidak ada ibu dan ayah yang memantau perkembangan psikologi dan emosi anak-anak, terutama selepas kelas ketika di asrama.

Tidak ada orang yang mampu menunjukarah anak-anak melakukan perkara remeh temeh seperti kebersihan, pakaian, soal perasaan, empati dan tata susila yang baik.

Dalam soal pembelajaran dan disiplin, kurikulum dan peraturan di sekolah berasrama penuh mungkin cukup baik. Tapi jangan cemburu kerana di sekolah harian pun kurikulum dan disiplin sudah ditingkatkan.

Sebab itu kebanyakan pelajar yang mencipta hatrik dengan pencapaian luar biasa adalah dari sekolah harian seperti Nur Amalina Che Bakri, 17A SPM 2004, Nadiah Amirah Jamil, 18A, SPM 2006, Siti Fatimah Mokhtar, 18A SPM 2006 dan Nik Nur Madihah Kamil, 20A, SPM 2008.

Foto: Kiri ialah anakanda saya Muhammad Suhail. Dia tidak ke asrama penuh masa tingkatan satu tetapi masuk Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban ketika tingkatan 4. Seterusnya dia masuk Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dan USM. Sekarang menamatkan Mastersnya di USM. Pensyarahnya propose dia sambung PhD. Dia kata, "Tunggu dulu."




Saranan saya:

Anak yang mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh elok terima tawaran dan ubah suai diri untuk menjadi pelajar asrama. Anak yang tidak mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama penuh harus meyakinkan diri bahawa mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dengan cemerlang.

Saranan kepada ibu bapa:

Ambil perhatian berat terhadap anak-anak anda yang belajar di sekolah berasrama penuh. Selalulah ziarah mereka. Hantar makanan kepada mereka atau makan tengahari bersama mereka. Call mereka bertanyakan khabar. Tanya masalah mereka? Tanya siapa kawan mereka? Teliti perkembangan pembelajaran mereka. Apa keperluan mereka?


Foto: Nik Nur Madihah (tengah) lagi. Ini di hadapan rumahnya di Kg. Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kelantan. Saya (kanan) bertemu beliau untuk mencungkil rahsia ajaib kecemerlangan itu. Anda lihat kemudahan prasarana yang paling minimum pun mampu menghasilkan keputusan peperiksaan paling cemerlang di Malaysia!

Ingat:

Anak anda di asrama sangat sedih saat ibu bapa kawan-kawan mereka datang menziarahi anak-anak mereka pada hujung minggu sambil bersantai di bawah pokok sama-sama makan tengahari ala berkelah sedangkan ibu bapanya sendiri tidak nampak batang hidung. Mungkin anda ada hambatan masalah masa, kewangan dan kesempatan, tapi berkorbanlah demi untuk anak tersayang.

Isnin, 10 Ogos 2009

BAGAIMANA MEMULAKAN HARI ANDA?

Foto: Ketika mengikuti kem atau kursus seperti peserta PLKN ini, anda dilatih untuk bangun awal dan ada latihan jasmani pada waktu pagi. Mengapa bila kembali ke rumah, anda tidak upaya mendisiplinkan diri anda untuk mengekalkan rutin ini?

KRONOLOGI PAGI

Jadikan kronologi pagi ini amalan hidup anda. Kronologi bukan untuk orang yang makan gaji sahaja. Kalau anda bekerja sendiri, anda harus lebih berdisiplin:
  • Bangun awal, selewat-lewatnya 5.30 pagi tanpa prejudis pukul berapa anda tidur malam tadi. Kalau tak boleh juga bangun 5.30 pagi, esok tidurlah lebih awal.
  • Menyucikan diri termasuk bercukur atau trim.
  • Solat berjemaah di surau atau masjid berhampiran. Setidak-tidaknya solat berjemaah di rumah bersama isteri dan anak-anak.
  • Membaca al-Quran dan terjemahannya, sebaiknya berjemaah.
  • Membaca sedikit bahan dari buku pilihan sebaiknya dalam kumpulan usrah.
  • Bersarapan bersama keluarga.
  • Berpakaian dengan sempurna walaupun anda bekerja sendiri. Jangan ada bahagian pakaian dan eksesori yang cacat.
  • Sampai 10 minit sebelum waktu pejabat yang ditetapkan.

FOKUS KERJA ANDA UNTUK HARI INI:

  • Kemaskan work station atau meja kerja anda sebelum memulakan kerja pada hari ini.
  • Buat lis THINGS TO DO TODAY. Sebaiknya sudah dibuat 10 minit sebelum menamatkan kerja semalam.
  • Apa tugasan semalam yang belum disempurnakan?
  • Apa pula sasaran anda hari ini?
  • Buat kerja yang susah dahulu.
  • Sediakan dua jenis kerja serentak:1. Kerja utama. 2. Kerja sokongan yang dilakukan apabila anda letih atau mengantuk.
  • Buat panggilan telefon awal supaya orang boleh bertindak.
  • Bincang kerja dan sasaran hari ini dengan team anda.
  • Buat kerja dengan laju dan tangkas tetapi efisien dan tepat.
PANTANG LARANG PAGI HARI KERJA

Foto: Bila pagi hari cuti tiba, dua perkara yang anda tidak boleh lepas: Teh tarik dan akhbar pagi. Mulai hujung minggu ini cuba ubah rutin pagi hari cuti anda dengan dua perkara yang tak boleh lepas: Solat berjemaah di masjid atau surau dan membaca satu muka al-Quran. Selepas itu anda boleh turuti kronologi pagi biasa anda.




  • Membaca akhbar. Bacalah akhbar pada waktu rehat jam 10 atau rehat tengahari.
  • Berchatting.
  • Bercinta di pejabat.
  • Minum pagi selepas clock in. (Saya rela dapat merah kerana bersarapan dahulu).
  • Berborak sementara bos sampai.
  • Bertandang ke work station orang lain. Orang baik melayan anda dalam terpaksa.
  • Sering ke bilik air. Kalau anda ada masalah penghadaman, tukar rutin pemakanan.
  • Terganggu dengan pelbagai masalah keluarga dan peribadi ketika hendak memulakan kerja.
  • Tidak menunggu-nunggu jarum jam menunjukkan pukul 1. Sebaliknya biarkan tidak sedar jam sudah pukul 1.
Waktu hendak keluar makan tengahari jam 1.00 cuba anda muhasabah diri: Selama 4 jam atau 240 minit yang lalu berapa banyak kerja yang telah anda laksanakan? Ingat mutu keberhasilan anda adalah untuk manfaat diri anda, kecekapan anda dan ketajaman anda sendiri, bukan semata-mata untuk bos atau majikan anda!